KUANTAN: Masyarakat terutama umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan hadis apabila diuji dengan musibah seperti banjir besar.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata pada masa sama, masyarakat tidak harus mempercayai sebarang cerita tidak sahih dan menyebarkannya kerana perbuatan itu boleh mendatangkan akibat buruk kepada mereka.
“Surah al-Fajar ada mengajarkan mengenai sebab dan punca ujian musibah, sebagai pengajaran kepada kita. Apabila baca ayat surah berkenaan, jangan toleh ke orang kiri kanan kita (menyalahkan orang lain), sebaliknya pandang diri kita dahulu.

“Maka, berkawanlah dengan orang baik dan berilmu, tapi jangan sesekali (mendekati) orang yang suka hidupkan fitnah. Kita ni, kalau hati tengah kacau, kepala serabut dan jiwa cemburu, tak payah babitkan orang lain, sama ada lawan atau kawan. Kalau gatal garu sendiri, jangan marahkan jiran.
“Mengata memang sedap, tapi akibat macam-macam kena hadap, tak cepat lambat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Syed Ibrahim juga mengingatkan bahawa Nabi SAW mengecam perbuatan fitnah sekeras-kerasnya.
“Daripada Annas Bin Malik RA, Baginda bersabda: “Fitnah ini sebenarnya tidur, Allah laknat orang yang membangkitkanya.” (Hadis Riwayat Imam Sayuti).
“Satu lagi, daripada Abu Hurairah RA , Rasulullah SAW bersabda : “Cukuplah sesorang dikira pendusta apabila meyebarkan (berita) apa sahaja yang dia dengar. (Hadis Riwayat Muslim).
“Hadis-hadis ini dikuatkan lagi menerusi pesanan dalam surah al-Baqarah: “Fitnah tu lebih parah dari membunuh”. Nak menghidupkan fitnah, tak payah direka, disunting semulapun temasuk juga,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tidak rugi seandainya mengambil sikap berdiam diri dan menyemak dahulu sebarang maklumat diterima terutama di media sosial.
“Tak rugi jika kita utamakan berdiam dan semak dahulu. Kerana Nabi SAW pesan: “Barangsiapa beriman dengan hari akhirat bicaralah yang baikĀ² atau berdiam diri”.
“Makanya kita harus teliti secara halus dahulu. Jangan sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa, bahkan masyarakat boleh binasa,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN