KUANTAN: Golongan penternak ikan terutama talapia dan patin harus melakukan anjakan paradigma dengan menghasilkan produk hiliran selain memasarkan sendiri hasil ternakan mereka.
Ahli Perlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, berkata banyak produk hiliran yang boleh dibuat contohnya patin tempoyak sejuk beku.
“Saya harap Persatuan Penternak Ikan Air Tawar Kampung Seri Fajar tidak hanya menjalankan aktiviti penternakan ikan talapia dan patin sahaja, sebaliknya hasilkan juga produk hiliran.
“Selain itu, elok juga jika persatuan ini memasarkan sendiri hasil ternakan ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat pertama Persatuan Penternak Ikan Air Tawar Kampung Seri Fajar di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pertanian Daerah Kuantan, Amir Zulkifli Abdul Samad; Setiausaha Umno Bahagian Paya Besar, Jamalul Khairi dan Penghulu Mukim Kuantan 2, Roslan Ahmad.
Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, beliau mengingatkan ahli persatuan berkenaan sentiasa bekerjasama bagi memastikan semua ahli mendapat manfaat sama rata.
“Saya sangat berharap persatuan ini berjaya dan tidak hanya hangat-hangat tahi ayam,” katanya. – AJI YOP