Jangan syok sendiri,pesan Tok Wan

Jangan syok sendiri,pesan Tok Wan

KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Pahang yakin Barisan Nasional (BN) mampu menakluki sekurang-kurangnya dua daripada tiga kerusi dipertandingkan di kawasan Parlimen Indera Mahkota dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keyakinan itu berdasarkan maklum balas diterimanya setakat ini berhubung penerimaan rakyat di kawasan parlimen berkenaan terhadap BN.

Katanya, ia bagaimanapun bergantung kepada kesediaan ahli UMNO dan parti komponen BN di kawasan itu untuk menerima calon diletakkan pucuk pimpinan untuk bertanding di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Semambu dan Beserah serta Parlimen Indera Mahkota.

“Di Indera Mahkota sebelum ini (kalah) 0-3, takkan nak kekalkan macam itu sampai bila bila. Bagaimana kita nak menang balik.

“Bergantung kepada laporan, daripada tiga (kerusi dipertandingkan), dua kita boleh menang, asalkan tiada masalah dalaman, tiada ‘cah keting’ (sabotaj) atau boikot apabila tak naik nama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Makan Malam dan Perjumpaan YAB Menteri Besar Bersama Kepemimpinan UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid; Setiausaha UMNO Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar serta Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, ahli UMNO Bahagian Indera Mahkota harus akur dengan keputusan pucuk pimpinan meletakkan calon untuk bertanding di dua DUN di kawasan Parlimen itu. 

Beliau juga mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu selesa dan beranggapan kemenangan mudah akan dicapai pada PRU akan datang.

“Jangan syok sendiri, bahaya jika kita syok sendiri. Bagi pihak kerajaan negeri, EXCO dan ADUN (Ahli DUN), kami dah buat sehabis baik terbaik,” katanya.

Pada Pru-14 lalu, kerusi Parlimen Indera Mahkota dimenangi Dato’ Saifuddin Abdullah yang ketika itu mewakili PKR, manakala DUN Semambu (Lee Chean Chung-PKR), sementara DUN Beserah (Andansura Rabu-PAS). – HELMY ABD RAHMAN