PEKAN: Lebih 150 kilogram (kg) botol minuman plastik dikumpulkan dalam kawasan seluas kira-kira 100 meter di pesisir pantai Tanjung Selangor, di sini, semalam.
Pengumpulan botol plastik itu sebahagian daripada program khidmat komuniti anjuran Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dengan kerjasama Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran dan Alam Flora Daerah Pekan.
Pengarah POLISAS, Norehan Silek, berkata program itu turut menyaksikan aktiviti menanam 60 pokok ru, balau laut dan bintangor.
Katanya, kakitangan dan penuntut POLISAS bersama kakitangan Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Putrajaya terbabit dalam program berkenaan.
“Ativiti menanam pokok mendapat sokongan sepenuhnya daripada PHD Kuantan, Pekan dan Maran yang menyediakan pokok dan petak tanaman termasuk khidmat 20 kakitangan.
“Saya berpuas hati dengan kejayaan penganjuran Program Khidmat Komuniti Penanaman Pokok dan Plogging Bersamamu Sempena Malaysia Polytechnic & College Community Sustainability Award (MPCCSustAWARD 2022) yang julung kali diadakan,” katanya, di sini semalam.
Turut menyertai program semalam, Pegawai PHD Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee. – MOHD IMRAN IZZAD