TEMERLOH: Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) berjanji untuk menyelesaikan masalah air di Kampung Rantau Panjang, Lanchang di sini dalam tempoh 12 hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata langkah itu adalah penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi masalah yang membelenggu penduduk kampung berkenaan.
Katanya, jaminan itu disampaikan ketika beliau bersama bertemu sebilangan penduduk yang melakukan tunjuk perasaan berhubung perkara itu.
“Mereka (penduduk) tidak marahkan wakil rakyat tetapi nak kita selesaikan masalah air ini. Kita dahpun terangkan kepada penduduk yang kerajaan negeri memberi masa 12 hari bagi pihak PAIP selesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau berkata begitu kepada media selepas majlis penyerahan Geran Hakmilik STR Warisan Kemuning dan Notis 5A oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang di sini, hari ini.
Mohd Sharkar berkata, untuk penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Persekutuan sudahpun memberikan kelulusan sebanyak RM100 juta untuk membina loji air baharu bagi dibekalkan kepada penduduk DUN Lanchang.
“Pun begitu, ia memakan masa satu atau dua tahun kerana perlu mencari tapak pembinaan bersesuaian,” katanya. – KABHI ISMAIL