Jasa UMNO bina tamadun bangsa 

Jasa UMNO bina tamadun bangsa 

KUANTAN: UMNO terbukti mampu membina satu tamadun khususnya membabitkan orang Melayu di negara ini sehingga menjadi negara disegani dan dihormati di seluruh dunia.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, UMNO juga banyak berjasa menaikkan taraf hidup rakyat menerusi pelbagai perancangan rapi dan ampuh sejak selepas Merdeka sehingga kini.  

Katanya, setiap daripada rakyat Malaysia tidak harus lupa bahawa parti berkenaan membawa satu jasa yang besar selepas ditakdirkan Allah SWT sebagai asbab untuk membebaskan rakyat dan negara ini daripada cengkaman penjajah dan menyatukan suara anak bangsa kepada satu suara iaitu UMNO.

“Kita nampak apa yang dibawakan UMNO ini tujuannya selain daripada menyatukan suara rakyat di Malaysia, tetapi juga untuk membina dan membela tamadun dan membela manusia itu sendiri.

“Usaha itu telah dibuktikan sendiri oleh UMNO apabila dia berjaya menubuhkan bukan sahaja parti politik dan satu pertubuhan yang menyatukan suara, iaitu menubuhkan satu kerajaan.

“Dengan tertubuhnya kerajaan melalui landasan UMNO ini satu ketika dulu, telah membolehkan kerajaan yang diterajui UMNO untuk membina sebuah tamadun kehidupan orang Melayu yang adihormati,” katanya ketika bersiaran di rancangan Fikrah Siasah yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Fikrah Pahang.

Menurutnya, satu ketika dulu, orang Melayu jauh ketinggalan dari segi pendidikan dan ekonomi, namun dengan kesungguhan kerajaan yang diterajui UMNO, keadaan itu berjaya diubah. 

“Bukanlah lama sangat, pada tahun 1970-an dulu, biasa kita lihat anak orang Melayu berjalan kaki empat atau lima batu (enam hingga lapan km) sehari untuk ke sekolah, siapa yang ada kereta atau rumah batu dianggap kaya dan mewah.

“Tapi kerajaan pimpinan UMNO tidak mengalah, mereka bina sekolah di desa walau bagaimana susah sekali pun asalkan pendidikan orang Melayu tidak terabai dan hari ini kita lihat begitu ramai yang sudah berjaya hasil usaha keras UMNO ini,” katanya. 

Tambahnya, Pahang kini bernasib baik mempunyai pemimpin yang mementingkan pendidikan dan hala tuju penduduknya, tetapi tidak meminggirkan soal kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Cara dan kaedah kepemimpjnan YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) amat mirip dengan Alahyarham Tun Razak, tetapi pada masa sama beliau (Wan Rosdy) tidak mengabaikan kemodenan dan sentiasa mengikut arus semasa,” katanya.  

Dalam pada itu, Syed Ibrahim megucapkan selamat menyambut hari penubuhan UMNO ke-76 kepada setiap ahli parti berkenaan.

“Saya harap semua ahli parti sentiasa komited dengan perjuangan UMNO demi anak bangsa,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN