KUANTAN: Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad akan memberikan sepenuh tenaga dan pemikiran untuk membantu membawa negara ke mercu kejayaan.
Beliau berkata, pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya bukan untuk dibangga dan dimegahkan.
“Sebaliknya ini adalah satu mandat, amanah dan tanggungjawab yang saya perlu pikul selaras dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Ia untuk memastikan Kerajaan Perpaduan dapat membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil dan merancakkan ekonomi dan pembangunan negara.
“Insya-Allah amanah ini akan sedaya upaya digalas dengan penuh tanggungjawab demi rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Abdul Rahman turut berterima kasih di atas kepercayaan oleh parti Barisan Nasional (BN) terutama kepada Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri I, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, penghargaan tertinggi juga buat YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan itu.
“Tak lupa kepada semua pengundi dan penyokong yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada saya,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN
tamat