JBPM Pahang selamatkan RM82.2 juta harta benda

JBPM Pahang selamatkan RM82.2 juta harta benda

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menyelamatkan harta benda bernilai RM82.2 juta daripada musnah terbakar dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Dato’ Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata sepanjang tahun lalu, pihaknya menyelamatkan hanta benda bernilai RM129 juta.

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan sebanyak 520 panggilan berhubung kes kebakaran.

“Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 289 kes atau 35.7 peratus berbanding 809 panggilan yang diterima dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

“Tiga kes kematian direkodkan dalam kebakaran rumah berbanding hanya satu kes pada tahun lalu,” katanya selepas Majlis Tamat Kursus dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan merangkap Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) JBPM, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Mengulas lanjut, Dr Wan Mohammad Zaidi berkata, bagi kes kemalangan jalan raya, sebanyak 164 kes diterima tahun ini dengan 41 kematian. – MOHD IMRAN IZZAD