JBPM tubuh jawatankuasa siasat kematian Mohd Diya

JBPM tubuh jawatankuasa siasat kematian Mohd Diya

Husin Ibrahim

fikrahpahang@gmail.com

Gambar Mohd Izz zahin

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan satu jawatankuasa siasatan untuk membantu menyelesaikan kes kematian pegawai bomba, Mohd Diya Che Jusoh.

Allahyarham Mohd Diya meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri apabila dibawa arus deras ketika membantu mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Melaka pada 4 petang, 20 Oktober lalu.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata ahli jawatankuasa berkenaan terdiri daripada lima individu iaitu empat daripada JBPM dan seorang lagi pakar perubatan.

“Siasatan ini menumpukan kaedah pengurusan keseluruhan operasi dan rawatan segera kepada mangsa ketika kejadian berkenaan.

“Jawatankuasa siasatan ini juga akan memperhalusi dan menambah baik SOP (prosedur operasi standard) ketika operasi menyelamat,” katanya kepada media  selepas majlis penutup Kursus Asas Pertauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang Siri 1/2021 di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, pihaknya bersedia menambah baik SOP menyelamat ketika bencana banjir seandainya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Dalam kejadian 20 Oktober lalu, Allahyarham Mohd Diya dibawa arus deras ketika menjalankan operasi menyelamat penduduk yang terperangkap dalam banjir di Kampung Sungai Putat.