Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Mustaffa Kamal
KUANTAN: Kerajaan Pahang sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjenamakan semula rumah rakit sebagai di pesisiran sungai di negeri ini sebagai ‘rakitstay’.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata permohonan itu dilakukan di bawah kategori ‘chalet kampung stay’ untuk menaik taraf penginapan pelancongan berkenaan.
Katanya, Penggunaan jenama ‘rakitstay’ dapat menarik perhatian pelancong menerusi cetusan gambaran pengalaman yang akan diperoleh mereka sepanjang percutian di penginapan itu.
“Kita memaklumkan rakitstay adalah cadangan baik, kerana penjenamaan adalah aspek penting dalam sektor pelancongan, seperti Kuantan dengan Menara Kuantan 188, Raub sinonim dengan durian Musang King dan Cameron Highlands sebagai kawasan suhu sejuk.
“Rumah rakit ini pula banyak terdapat di Rompin iaitu 50 di Sungai Pontian dan Sungai Rompin. Penggunaan rakitstay dapat memberi gambaran idea kepada pelancong yang mereka dapat memperoleh pengalaman tidur terapung di air,” katanya.
Mohd Sharkar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak (PAS) yang meminta penjelasan mengenau jumlah rumah rakit atau rakitstay yang didaftarkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.