Jenazah mangsa ketiga tragedi lemas di Pantai Sungai Ular ditemui

Jenazah mangsa ketiga tragedi lemas di Pantai Sungai Ular ditemui

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustafa Kamal

KUANTAN: Mangsa terakhir kes lemas di Pantai Sungai Ular, dekat Cherating, Mohd Fazrul Hakimi Ariffin, 11, berjaya ditemui sebentar tadi.

Mayat remaja itu ditemui kira-kira jam 1 tengah hari selepas 19 jam usaha mengesannya dilakukan sejak semalam.

Seramai 107 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Maritim Malaysia, terbabit pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Pahang, Kapten (Maritim) Mohamad Zuhairy Hussain berkata, pegawai dan anggota terbabit dibahagikan kepada enam kumpulan yang turut dibantu penduduk kampung.

“Semalam, mayat seorang daripada mangsa dikenali sebagai Fitrah Dhia Zahraa’ Zaidi, 9, ditemui kira-kira jam 6 petang, manakala Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, pula ditemui sejam selepas itu.

“Seorang lagi mangsa, Fitrah Dhia Zulaikha, 13, yang juga kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa’ sempat diselamatkan orang awam,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, tiga kanak-kanak dilaporkan hilang ketika mandi di pantai berkenaan.

Laporan kejadian berkenaan diterima Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Daerah Kuantan, kira-kira jam 6 petang dan operasi SAR digerakkan sejurus selepas itu.