KUANTAN: Satu unit jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) akan ditempatkan di kawasan rehat dan rawat (RnR) Genting Sempah, Temerloh dan Gambang, dekat sini, sepanjang musim perayaan Aidilfitri bermula 25 April ini hingga 9 Mei depan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Dato’ Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, dua kenderaan itu berada di RnR sebagai persediaan untuk operasi menyelamat jika kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
Katanya, tujuh anggota bersiap sedia di RnR berkenaan sepanjang 24 jam untuk memberikan bantuan.
“Dua kenderaan itu akan memudahkan operasi menyelamat dengan tindakan segera kerana ia tidak membabitkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).
“Selain itu, JBPM turut mengadakan rondaan menggunakan unit motosikal membabitkan laluan dari Bentong ke Kuala Lipis termasuk Jalan Central Spine Road (CSR).
“Unit bermotosikal ini bagi memudahkan urusan sekiranya berlakunya kesesakan di jalan terbabit,” katanya pada program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya sempena perayaan Aidilfitri 2022.
Pelancaran kempen disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Sementara itu, Norolazali berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan baik.
“Kenderaan juga perlu diselenggara dan berada dalam keadaan baik untuk memastikan keselamatan sepanjang pemanduan,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN