TEMERLOH: Tugas jentera penerangan UMNO Pahang bukan hanya bermusim tapi dilakukan secara berterusan, kata Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Beliau yang juga EXCO Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Pahang, turut menafikan tanggapan segelintir pihak yang menganggap jentera penerangan UMNO hanya berfungsi tiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja.
“Kerja ini bukan baru dimulakan, tapi sudah lama dan ianya berterusan, bukan untuk PRU saja, cuma kadang-kadang kita buat (program) dengan orang ramai, kadang-kadang dengan jentera dan kadang-kadang di kedai kopi.
“Sesi penerangan ini bukan semestinya melalui ceramah, ada orang yang hanya mahu kita datang berjumpa dengan mereka saja,” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, kelmarin.
Syed Ibrahim turut memaklumkan, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sudah mengeluarkan arahan supaya jentera penerangan UMNO Pahang membantu jentera peringkat cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM) mengatur siri ceramah susulan pembubaran Parlimen.
“Penerangan UMNO Pahang telah mendapat persetujuan daripada MB (Menteri Besar) supaya mengadakan gerak kerja penerangan bagi memastikan dapat membantu (UMNO) Bahagian menjelaskan isu semasa.
“Selain itu, kita membantu dalam menjelaskan dasar kerajaan selain mengatur ceramah di peringkat Bahagian dan PDM.
“Kita ada 14 ketua penerangan di peringkat Bahagian, 14 di peringkat Pemuda dan 14 di peringkat sayap seperti Wanita dan Puteri, jadi semuanya bersama-sama memainkan peranan untuk membantu jentera Penerangan UMNO (peringkat) negeri,” katanya lagi.
Tegasnya, sesi penerangan tidak hanya dilakukan melalui ceramah semata-mata, tapi boleh juga dibuat dengan penganjuran ceramah keagamaan serta sesi ramah mesra bersama orang ramai.
“Kita juga ada pasukan perang saraf yang ditugaskan untuk mengenal pasti status kawasan itu sama ada putih, kelabu atau hitam dan mereka inilah yang akan berusaha menukar (kawasan) daripada hitam kepada kelabu atau daripada kelabu kepada putih,” katanya.
Istilah kawasan putih, kelabu dan hitam adalah merujuk kepada sikap pengundi di kawasan berkenaan.
Kawasan putih adalah kawasan selamat untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN), kelabu pula merujuk kepada masih ramai pengundi bersikap ‘atas pagar’ dan hitam pula menunjukkan sikap pengundi yang tidak menyokong UMNO dan BN. – KHALEEF FITRIĀ