TEMERLOH: Jentera penerangan di setiap bahagian UMNO di Pahang disaran supaya lebih proaktif membantu menyampaikan maklumat berhubung tindakan diambil kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Ketua Penerangan Badan Pehubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri pimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat dalam pelbagai segi antaranya berkaitan soal kebajikan, ekonomi dan pendidikan.
“Contohnya masalah air yang mana Kerajaan Pahang melalui PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) memperuntukkan sebanyak RM32.2 juta bagi menyelesaikan masalah air di tujuh kawasan tumpuan di Lipis, begitu juga di Raub dan Rompin.
“Perkara seperti inilah yang perlu diterangkan kepada rakyat dan jentera penerangan UMNO harus turut sama mengambil tanggungjawab menyampaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Penerangan UMNO Pahang dan Jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di kediamannya di sini, semalam.

Kira-kira 100 orang menghadiri majlis berkenaan yang bermula jam 5.30 petang hingga 9 malam.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang merangkap Ahli DUN (ADUN) Kerdau, berkata penyampaian maklumat oleh jentera penerangan UMNO negeri akan memudahkan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Maknanya, apabila setiap permasalahan rakyat sudah diselesaikan, kita (BN) tak perlu lagi beriya (bersungguh-sungguh) mempromosi kebaikan yang telah kita lakukan ketika berkempen nanti kerana rakyat dah tahu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri bersyukur apabila dapat meneruskan rancangan untuk merasmikan beberapa masjid di negeri ini yang tergendala dua tahun akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Banyak masjid yang sudah agak lama disiapkan tetapi tidak dapat dirasmikan dan tertangguh dua tahun kerana COVID-19 selain PKP.
“Alhamdulillah, tahun ini kita memasuki fasa endemik dan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga berkenan untuk merasmikan masjid-masjid berkenaan sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN