Jerantut ada laluan khas basikal

Jerantut ada laluan khas basikal

JERANTUT: Majlis Daerah Jerantut (MDJ) sedang menyediakan laluan khas untuk basikal sepanjang 3.2 kilometer (km) di tengah bandar dalam usaha untuk menjadikan Jerantut sihat dan selamat. 

Pemangku Setiausaha MDJ, Mohd Khasri Abdullah berkata, pihaknya sedang menyediakan laluan basikal dengan warna khas dan papan tanda keselamatan buat penunggang basikal dan pengguna kenderaan lain.

“Ia dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti persekitaran fizikal dan kesihatan penduduk bandar,” katanya. 

Beliau berkata, apabila siap kelak ia dapat meningkatkan persekitaran dan memperluaskan sumber agar komuniti boleh menyokong satu dengan lain dalam mencapai potensi kesihatan yang tinggi. 

“Selain laluan basikal, MDJ turut menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 500 meter yang dilengkapi dengan papan tanda maklumat kesihatan,” katanya.  

Katanya, dalam masa sama kemudahan peralatan senaman berkonsepkan gimnasium luar bakal dibina di kawasan lapang bersebelahan bangunan MARA.

Mohd Khasri berkata,  lebih banyak bangku rehat akan diletakkan di sekitar Laman Mat Kilau dengan lampu di sepanjang laluan pejalan kaki berbumbung itu.

Katanya, tapak projek Jerantut bandar sihat dan selamat bermula dari gerai Benteng menghala Stesen KTM Jerantut sehinggalah ke Laman Mat Kilau yang menjadi  tumpuan orang ramai di bandar itu. – MUHAMMAD NAJMIE