Jerantut hasil 60,000 semen lembu ‘sado’ menjelang 2023

Jerantut hasil 60,000 semen lembu ‘sado’ menjelang 2023

JERANTUT: Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) di Bukit Dinding, di sini, berupaya mengeluarkan kira-kira 60,000 straw semen beku berkualiti setahun menjelang 2023.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kejayaan itu mampu meningkatkan pembiakan ternakan ruminan pedaging dan tenusu negara selari dengan sasaran 50 peratus pengeluaran daging dan 100 peratus susu segar menjelang 2025.

Dr Nik Muhammad Zawawi, berkata permintaan terhadap bekalan semen beku ternakan adalah sangat menggalakkan terutamanya beberapa baka bersaiz besar seperti Charolais, Limousin, Belgian Blue dan Blonde. 

“Penggunaan semen baka berkenaan berjaya menghasilkan lembu hibrid yang mempunyai kadar pengeluaran daging yang lebih tinggi dan pulangan lumayan. 

“Selain itu, baka lembu tenusu seperti Mafriwal, Jersey dan Holstein-Friesian juga mendapat sambutan bagi tujuan peningkatan pengeluaran susu segar dalam negara.,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, hari ini. Hadir sama  Pengarah Bahagian Pembangunan Genetik dan Teknologi Penternakan, Dr Saifullizam Abd Kadir. 

Katanya,  lembu hibrid atau dikenali sebagai lembu ‘sado’ yang dihasilkan melalui teknik permanian beradas (AI) menggunakan semen baka seperti Charolais, Limousin, Belgian Blue dan blonde mampu mencapai berat sehingga seribu kilogram. 

Beliau berkata, kaedah AI memberikan pulangan lumayan kepada penternak kerana mereka tidak memerlukan lembu pejantan, hanya menggunakan semen beku yang diedarkan oleh IBVK negeri. – MUHAMMAD NAJMIE