JKM perkenal anugerah wira penyelamat banjir

JKM perkenal anugerah wira penyelamat banjir

BENTONG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 individu yang akan dianugerahkan wira penyelamat mangsa banjir.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata anugerah julung kali diperkenalkan itu diperkenalkan sebagai penghargaan tertinggi kepada individu yang dinobatkan sebagai adiwira yang muncul ketika keadaan amat memerlukan.

Menurutnya, ketika bencana banjir berlaku individu terbabit sanggup berkorban nyawa demi untuk menyelamatkan mangsa banjir selepas rumah mereka ditengelami air yang dalam serta deras.

Katanya, berbekalkan semangat dan keyakinan serta sifat ingin menolong yang begitu menebal, berbekalkan bot gentian kaca individu terbabit bertindak berani meredah banjir dalam kegelapan untuk menyelamat mereka terkandas.

“Pengorbanan individu terbabit membantu menyelamat mangsa banjir daripada terkorban pastinya tidak sama nilainya dengan anugerah yang diberikan, namun ia tidak lebih sebagai tanda ingatan dan terima kasih.

“Sebagai contoh kejadian banjir di kawasan perumahan Prima Karak, di sini minggu lalu terdapat tiga individu yang menjadi ‘unsung hero’ Karak apabila menyelamatkan lebih 50 penduduk yang terperangkap dengan membawa mangsa ke tempat selamat,” katanya selepas meninjau sukarelawan JKM membantu membersihkan rumah penduduk Prima Karak, di sini semalam.

Zulkhairi berkata, penghargaan turut diberikan kepada petugas barisan hadapan antaranya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). – MOHD IMRAN IZZAD.