JKM tambah lagi barangan bantuan di pangkalan hadapan

JKM tambah lagi barangan bantuan di pangkalan hadapan

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menambah keperluan asas disetiap pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi luruan monsun yang diramal membadai negeri ini, minggu ini.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata sehubungan itu, pegawai JKM telah melawat semua pangkalan hadapan bagi melihat keperluan asas yang masih ada disimpan dan sekiranya tidak mencukupi, tambahan akan dilakukan segera membabitkan semua sembilan jenis barangan.

Katanya, pegawai dan kakitangan JKM daerah termasuk sukarelawan daripada jabatan diarahkan supaya bersiap sedia memberi bantuan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Kita akan terus menjalinkan kerjasama dengan agensi keselamatan antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam melancarkan operasi menyelamat.

“Kita juga bersiap sedia membuka semula pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya keadaan memerlukan,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk di kawasan mudah dinaiki air dan berhampiran sungai diingatkan supaya lebih berhati-hati.

“Segeralah berpindah ke PPS berhampiran apabila hujan berterusan. Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan bermula 30 Disember hingga 2 Januari 2022 di Johor serta Pantai Timur yang boleh menyebabkan banjir, justeru semua pihak perlu sentiasa berwaspada,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.