JKN Pahang nafi kematian lelaki Cina 20 tahun akibat COVID-19

JKN Pahang nafi kematian lelaki Cina 20 tahun akibat COVID-19

Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Tiada berlaku kematian akibat COVID-19 membabitkan seorang lelaki Cina berumur 20 tahun di Taman Tas, di sini, seperti yang tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, sehingga hari ini, tiada kematian akibat COVID-19 di Pahang membabitkan individu berumur 20 tahun.
Katanya, kematian termuda yang direkodkan di Pahang ialah membabitkan lelaki India berumur 23 tahun manakala kematian termuda membabitkan kaum Cina adalah lelaki berumur 30 tahun dari Seri Damai Perdana, di sini.
“Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan juga tidak menerima sebarang kes kematian membabitkan individu berumur 20-an.
“Minggu ini hanya satu kes `brought in dead’ (BID) atau meninggal ketika ketibaaan yang diterima oleh HTAA iaitu kes dari Raub.
“Semakan melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang juga mendapati tiada kes BID yang dilaporkan pada hari ini di seluruh Pahang.
“Sehingga hari ini, sebanyak 58 kematian dilaporkan akibat COVID-19 di Pahang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak diketahui kesahihannya kerana boleh menimbulkan keadaan panik dalam kalangan masyarakat di Pahang.
Bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di Pahang, katanya, masyarakat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan susulan peningkatan kes positif di negeri ini.
“Minggu ini, purata kes harian adalah 230 kes sehari berbanding 44 kes pada bulan lalu iaitu peningkatan lima kali ganda.
“Sehingga hari ini, terdapat 9,119 kes keseluruhannya di Pahang dan kes tertinggi dicatatkan di Kuantan iaitu 3,094 kes, diikuti Bentong (2,212 kes), Temerloh (839 kes), Jerantut (595 kes) dan Raub (531 kes).
“Jika bergejala, segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk ujian saringan pengesanan COVID-19 dan mematuhi SOP yang ditetapkan serta duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan dan melandaikan lekuk jangkitan COVID-19,” katanya.