JKN Pahang sedia 272 pasukan hadapi tengkujuh 

JKN Pahang sedia 272 pasukan hadapi tengkujuh 

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 272 pasukan, masing-masing membabitkan 149 pasukan perubatan dan 123 pasukan kesihatan disediakan bagi menghadapi musim tengkujuh di Pahang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Indera Dr Nor Azimi Yunus, berkata pasukan perubatan berperanan memberi rawatan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, pasukan kesihatan pula lebih kepada melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

“Kita juga menyediakan 95 Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS)  dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

“Secara keseluruhannya terdapat 20 pasukan perubatan ditugaskan di semua PPS di Pahang iaitu membabitkan daerah Lipis, Raub, Temerloh, Jerantut dan Bera, sejak 7 Disember lalu.

“Lapan belas pasukan kesihatan secara kumulatif ditugaskan melakukan pencegahan, pemantauan persekitaran dan kawalan penyakit di PPS,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehingga ini, katanya, pasukan MHPSS sudah memberikan sokongan psikososial kepada 243 mangsa banjir. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN