JKNP jejak remaja tercicir untuk vaksinasi

JKNP jejak remaja tercicir untuk vaksinasi

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesan terdapat seramai 1,286 remaja di negeri ini yang tercicir menerima vaksin Covid-19. 

Mereka terdiri daripada gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang tidak bersekolah. 

Pengarahnya, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, program outreach adalah sebahagian daripada program jangkauan luar yang sedang dirangka di negeri ini bagi mengesan golongan yang tercicir.

“Kita akan mengadakan program outreach sekerap mungkin di semua daerah, sebagai contoh minggu lalu kita adakan program suntikan di masjid dan mendapat sambutan menggalakan.

“Kita akan teruskan program ini di kawasan tumpuan atau tempat awam bagi mencari mereka yang masih belum menerima vaksinasi. 

“Kita bercadang untuk memulakan program outreach di pasar raya dan kampung kerana kita merasakan masih terdapat kumpulan penduduk yang masih belum menerima vaksin,” katanya. 

Mengenai pemberian dos ketiga vaksin Covid-19, Dr Nor Azimi berkata, Pahang mempunyai perancangan dan bersedia sebagaimana kenyataan YAB Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. 

Katanya, pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi dan garis panduan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memulakan dos penggalak vaksin Covid-19 di Pahang.

“Perancangan untuk pemberian dos ketiga perlu mendapat garis panduan yang lengkap daripada KKM sebelum dilaksanakan,” katanya.