JKNP keluar 106 notis hadir di mahkamah terhadap pemilik premis dan pengendali makanan.

JKNP keluar 106 notis hadir di mahkamah terhadap pemilik premis dan pengendali makanan.

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 106 Notis Memerintah Kehadiran ke Mahkamah dengan nilai kompaun RM18,000 terhadap pemilik premis dan pengendali makanan yang didapati gagal mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

  Tindakan berkenaan diambil hasil Operasi Ramadan 2021 di seluruh negeri bermula 13 April hingga semalam.

  Pengarahnya, Dato’ Dr Bahari  Awang Ngah berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah pengendali makanan terlibat tidak mengikuti kursus keselamatan makanan, tidak mempunyai suntikan anti-tifoid dan tidak mematuhi kehendak  pakaian serta  kebersihan diri pengendali makanan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr Bahari  Awang Ngah.

  Katanya, dua premis makanan kotor diarah tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1985 bagi kerja-kerja pembersihan.

  Menurutnya sepanjang operasi yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNP dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah itu, sebanyak 2,042 premis diperiksa melibatkan 2,023 premis makanan dan 19 premis pembekal ais.

  “Secara keseluruhannya kita dapati 1,982 atau 97.8 peratus premis tersebut berada pada tahap memuaskan daripada aspek amalan kebersihan dengan markah purata tahap amalan kebersihan lebih 80 peratus.

  “Selain itu, seramai 4,341 pengendali makanan telah diperiksa dan seramai 3,991 orang atau 91.9 peratus mempunyai suntikan anti-tifoid manakala 3,778 (87.2 peratus) telah menghadiri kursus keselamatan makanan,” katanya.

  Dr Bahari berkata, operasi itu dijalankan bertujuan memastikan produk makanan di pasaran selamat dimakan dan mematuhi kehendak Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

  Tambahnya lagi, walaupun dalam suasana pandemik COVID-19 yang menyaksikan ekonomi peniaga terjejas, aspek keselamatan makanan perlu sentiasa dititikberatkan.

  “Kita menggesa golongan peniaga sentiasa mematuhi peraturan demi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan orang ramai tidak terjejas.

  ‘Kita tidak ingin melihat peniaga dikenakan tindakan undang-undang hanya kerana kecuaian sendiri sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian,” katanya.