KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melakukan pemantauan berterusan di pusat asuhan berdaftar di negeri ini bagi mengawal penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) daripada meningkat.
Pengarahnya, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes penularan HFMD di Pahang meningkat 16 kali ganda sejak Januari lalu hingga semalam iaitu 3,760 kes berbanding hanya 233 kes dalam tempoh sama, tahun lalu.
“Berikutan itu, JKNP mengambil langkah proaktif dengan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di pusat asuhan di seluruh negeri dan sehingga ini 505 premis pusat asuhan dilawat untuk pemeriksaan.
“Daripada jumlah itu, 35 taska diarah tutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala dua pusat jagaan harian tutup secara sukarela,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan pemeriksaan di pusat asuhan kanak-kanak di KOTASAS, di sini, hari ini
Dr Nor Azimi berkata, melalui langkah itum, JKNP memberi pendedahan kepada pengurusan pusat asuhan cara membuat pengesanan awal kanak-kanak yang dijangkiti HFMD dan langkah yang boleh diambil.
“Pihak pengurusan pusat asuhan digalakkan untuk membuat saringan di pintu masuk atau tempat permainan dalam bangunan bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda penyakit HFMD.
“Kita juga menyarankan pihak pusat asuhan melakukan proses menyahkuman secara rutin terutama membabitkan peralatan dan perkakas yang digunakan oleh kanak-kanak bagi mengurangkan risiko penularan,” katanya.
Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, daripada jumlah keseluruhan kes, lebih 95 peratus atau 3,585 kes berlaku secara sporadik manakala 4.7 peratus atau 175 kes lagi dikenalpasti hasil penularan di pusat asuhan.
“Sekurang-kurangnya 3,375 kes membabitkan kanak-kanak berusia kosong sehingga enam tahun, 326 kes bagi kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun manakala 59 kes di kalangan individu berusia lebih 12 tahun, termasuk 44 kes membabitkan pesakit berusia lebih 18 tahun.
“Majoriti kes pulih tanpa rawatan dan hanya 98 kes yang pernah dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut namun tiada kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) serta tiada kes kematian direkodkan,” kataya. – FATH AHNAF