KUANTAN: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan dalam 24 jam selepas menerima aduan awam berkaitan kerosakan jalan raya di Pahang.
Bagaimanapun, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata tindakan bergantung kepada tahap kerosakan jalan yang diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kerajaan negeri berusaha untuk menyelesaikan setiap aduan sekurang-kurangnya dalam 24 jam selaras dengan ketetapan piagam pelanggan JKR Malaysia.
“Arahan sudah dikeluarkan kepada JKR supaya mengambil tindakan lebih proaktif dan segera terhadap segala aduan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang bersama Pihak Konsesi Penyelenggaraan Jalan Negeri di Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah JKR negeri, Dato’ Hafizah Zakaria. – NUR HANNAH KHADIJAH