KUANTAN: Kerajaan negeri menerusi Tourism Pahang memperkenalkan Astro-tourism, produk pelancongan baharu berkonsepkan pelancongan astronomi.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata menerusi Astro-tourism, pelancong yang datang ke negeri ini dapat melihat keindahan langit penuh dengan bintang di kawasan langit gelap yang bebas daripada cahaya lampu buatan yang melenyapkan cahaya bintang atau dipanggil pencemaran cahaya.
“Melalui konsep pelancongan baharu ini, pelancong boleh belajar mengenal buruj serta tanda arah melalui peta bintang, tidak ketinggalan arah kiblat yang menjadi rujukan orang Islam menunaikan solat.
“Pelancong juga akan dibawa menghargai keindahan langit dan mengetahui mengenai kesan pencemaran cahaya kepada manusia dan flora serta fauna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Produk Pelancongan Astro-tourism – Pahang Amazing Sky di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menerusi tema pelancongan Pahang ‘This is Pahang Unlimited’, ternyata konsep pelancongan baharu ini mampu memberikan impak besar kepada pelancongan negeri.
Selain kaya dengan keindahan flora dan fauna, Pahang mempunyai banyak kawasan langit gelap.
Taman Negara dan Taman Negeri Rompin adalah kawasan perlindungan flora dan fauna berpotensi digazetkan sebagai rezab langit gelap pertama negara kerana ia bebas dari limpahan lampu pembangunan. – HELMY ABD RAHMAN