Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar ihsan Facebook Md Jamil Pauzi
KUANTAN: Sampah seberat 700 kilogram (kg) berjaya dikutip 80 sukarelawan di dua pantai di daerah ini sempena sambutan Hari Kebersihan Sedunia, hari ini.
Pengerusi Persatuan Anak muda Bandar Raya Kuantan, Md Jamil Pauzi berkata, semua sampah berkenaan dikumpulkan dalam masa tiga jam sahaja bermula jam 8 pagi tadi.
“Pagi tadi, saya ke Pantai Sepat dan Pantai Cempaka, bersama MBK (Majlis Bandaraya Kuantan), Alam Flora, SW Corp dan penduduk Kampung Cempaka sempena sambutan ‘World Cleanup Day’ peringkat global.
“Menerusi program bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 11 pagi ini, kami berjaya kumpulkan sampah seberat 700kg di dua pantai terbabit.
“Jadi jom kita tingkatkan lagi tahap kebersihan sekeliling kita dan jadi hero kebersihan untuk bumi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Fikrah Pahang di sini, hari ini.