KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang memantau 34 laluan `panas’ di negeri ini sempena Ops Hari Raya Aidiladha (HRA) bermula 11 hingga 13 Julai ini.
Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin, berkata laluan `hotspot’ itu, masing-masing lima laluan di Kuantan dan Pekan.
Katanya, di Bentong pula membabitkan empat laluan, diikuti masing-masing tiga laluan di Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut dan Raub.
“Selain itu, dua laluan `hotspot’, masing-masing di Bera dan Lipis manakala satu di Cameron Highlands turut akan dipantau.
“Sekurang-kurangnya 252 anggota JPJ Pahang terbabit sepanjang operasi kali ini,” katanya pada sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Ops HRA 2022 di Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini, hari ini.
Sepanjang operasi itu, beliau berkata, tiga terminal bas iaitu TSK, Terminal Bas Temerloh dan Terminal Bas Genting Highlands menjadi tumpuan jabatan itu.
“Selain menjalankan pemeriksaan bas ekspres, kita juga bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk saringan air kencing terhadap pemandu bas,” katanya.