KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan saman terhadap 19 pemandu atas kesalahan melompat barisan ketika trafik sesak di sekitar pusat bandar, di sini, kelmarin.
Kesalahan berkenaan dikesan hasil Ops Memotong Barisan yang dijalankan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB).
Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, operasi tertumpu di lokasi yang sering dikesan berlaku kesalahan melompat barisan ketika keadaan trafik sesak pada waktu puncak.
Menurutnya, sikap yang ditunjukkan segelintir pemandu itu boleh memburukkan lagi kesesakan, mengundang bahaya dan berisiko berlakunya kemalangan.
“Hasil operasi yang dijalankan 19 pemandu kenderaan dikeluarkan notis saman di atas kesalahan itu dan enam notis saman bagi lain-lain kesalahan,” katanya. –
MOHD IMRAN IZZAD