Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyangkal dakwaan kesukaran memperbaharuhi lesen memandu di kaunter pejabat JPJ negeri.
JPJ dalam kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa stok kad lesen memandu sentiasa mencukupi bagi urusan pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM).
“Urusan pembaharuan itu di seluruh kaunter pejabat JPJ negeri, cawangan JPJ dan rakan srategik JPJ.
“JPJ memberi jaminan bahawa stok dokumen terkawal adalah mencukupi untuk orang ramai membuat urusan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu,” menurut kenyataan itu.
Mengulas kesukaran membuat temu janji di kaunter pejabat JPJ, jabatan itu menjelaskan bahawa tindakan mengehadkan jumlah pelanggan untuk mengelakkan kesesakan orang ramai supaya menghindari daripada berlakunya jangkitan COVID-19.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan berkenaan selari dengan arahan pengoperasian pejabat kerajaan dan keperluan untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk melaksanakan urusniaga secara dalam talian melalui portal mySIKAP khususnya bagi tujuan pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan.
“Bermula 23 Ogos lalu, kaunter pandu lalu JPJ sudah dilaksanakan secara berperingkat di kebanyakan negeri dan mendapat sambutan.
“Lokasi dan masa operasi kaunter pandu lalu ini boleh dirujuk di laman rasmi media sosial JPJ di seluruh negara,” katanya.