JPN Pahang pergiat usaha bendung keciciran murid dan pelajar Orang Asli serta warga FELDA

JPN Pahang pergiat usaha bendung keciciran murid dan pelajar Orang Asli serta warga FELDA

KUANTAN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang giat melaksanakan usaha bagi membendung keciciran murid dan pelajar sekolah membabitkan golongan Orang Asli dan warga FELDA.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata antara langkah diambil jabatan terbabit ialah mengadakan libat urus bersama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi dan Pengurus Wilayah FELDA dengan dipengerusikan Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman secara ‘online’ pada 20 Oktober tahun lalu.

“Selain itu, pelaporan Intervensi Murid Risiko Cicir PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) telah dibentangkan pada Bengkel Kerja Intervensi Murid Risiko Cicir PdPR yang dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran membabitkan semua PPD (Pegawai Pendidikan Daerah) iaitu Pegawai Meja PdPR, Pegawal PIBKS dan Pegawai Sektor Pembangunan Murid di Bilik Seminar USTP Temin, Jerantut pada 29 Oktober 2021.

“Pengisian bengkel adalah berkaitan penataran penggunaan ‘Dashboard Verifikasi Murid Cicir’ JPN Pahang yang dibangunkan Unit TMK (teknologi makluat dan komunikasi) dan taklimat perancangan intervensi telah disampaikan oleh pegawai PIEKS JPN Pahang.

“Program Kunjung Bantu Murid Risiko Cicir PdPR pula dianjurkan oleh Sektor Pembangunan Murid yang membabitkan semua PPD pada 3 November 2021.

“Fokus program adalah untuk mengenal pasti murid yang tidak mengikuti PdPR dari Ogos sehingga Oktober 2021 serta membincangkan intervensi membabitkan motivasi oleh pihak sekolah dan PPD.

“Program ini turut membabitkan pihak Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini. – FIKRAH PAHANG