Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Seksyen Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) kini giat mengesan beberapa individu yang menjadi dalang utama kegiatan menceroboh hutan simpan untuk memindahkan balak termasuk aktiviti melombong emas tanpa lesen.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu terbabit yang aktif melakukan kegiatan salah itu sejak beberapa tahun lalu di daerah Temerloh, Maran, Lipis, Pekan dan Rompin.
Menurutnya, kebanyakan mereka terbabit dengan kegiatan itu sejak beberapa tahun lalu dan pernah dikenakan tindakan undang-undang namun dilihat tidak serik apabila kembali aktif selepas beberapa bulan kemudian.
Katanya, terdapat di kalangan mereka bergerak dari daerah ke daerah melakukan kesalahan yang sama, menceroboh hutan simpan seterusnya menebang pokok pelbagai spesies dan memindahkan balak termasuk kayu bergergaji menggunakan lori.
“Semua maklumat mereka sedang dikumpul bagi menguatkan lagi bukti kegiatan yang dilakukan individu tidak bertanggungjawap itu. Mereka perlu segera dikenakan tindakan undang-undang yang berat bagi memberi kesedaran.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain yang mempunyai lebih luas kuasa serta pengalaman dalam menghadapi kegiatan menyalahi undang-undang itu demi kepentingan semua pihak,” katanya, dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kejayaan pihaknya mematahkan tiga kes cubaan memindahkan balak di Hutan Simpan Jengka, Temerloh, Hutan Simpan Kemasul Mukim Pelangai, Bentong dan Hutan Simpan Benchah, Lipis yang membabit rampasan kayu lebih RM500,000.
Bulan lalu Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis turut berjaya mengesan kegiatan melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, Lipis. Pelbagai peralatan melombong termasuk jentera disita.
Nor Azirim berkata, pihaknya memandang serius kegiatan memindahkan hasil hutan secara haram didalangi individu tertentu yang berpengalaman luas dalam aktiviti haram itu dan sindiket terbabit turut bekerjasama rapat dengan pemandu lori serta kilang papan.
Tambahnya, bagi mengekang kegiatan salah itu pihaknya juga turut menyenaraikan beberapa kilang papan yang sebelum ini menerima balak curi dan pemeriksaan sentiasa dilakukan di kilang terbabit.
“Kita akan terus memburu individu yang menjadi dalang kegiatan memindahkan balak dan emas secara haram di negeri ini, pelbagai cara dan helah sedang dilakukan untuk memberkas mereka.
“Saya yakin semua mereka yang terbabit dengan kegiatan salah itu akan diberkas seterusnya didakwa di mahkamah, tidak lama lagi,” katanya.i