JPNP patahkan cubaan pindah balak curi 

JPNP patahkan cubaan pindah balak curi 

JERANTUT: Unit Penguatkuasaan Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mematahkan cubaan memindahkan 38 tual balak tanpa lesen bernilai RM83,000 di Hutan Simpan Tekai Tembeling, di sini, semalam.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad berkata, kegiatan mula dikesan selepas pihaknya mengesan dua lori disyaki membawa muatan balak menyalahi undang-undang kerana tidak mempunyai tanda tukul.

Menurutnya, siasatan membawa kepada penemuan kawasan pengumpulan balak di di Hutan Simpan Tekai Tembeling. 

Katanya, empat individu berumur antara 48 hingga 59 tahun ditahan ketika serbuan dilakukan dan mereka terdiri tiga pemandu lori dan seorang pemandu jentera penyangga.

“Semua balak pelbagai spesies berkualiti tinggi antaranya Merbau, Mersawa dan Kempas itu ditemui di kawasan pengumpulan balak. 

“Hasil pemeriksaan Unit Penguatkuasaan Zon Pahang Barat JPNP mendapati sindiket itu menceroboh dan menebang balak di Kompartmen 26 Hutan Simpan Tekai Tembeling,” katanya.

Beliau berkata, individu yang ditahan boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana berada dalam hutan simpan dan cubaan memindahkan hasil hutan tanpa permit. – MOHD IMRAN IZZAD