KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mematahkan lima pencerobohan hutan simpan di empat daerah di Pahang pada Januari dan Februari, tahun ini.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, JPNP turut merampas tiga jentolak dan satu motosikal.
Menurutnya, dua pencerobohan dikesan berlaku di hutan simpan di Temerloh dan masing-masing satu di Rompin, Cameron Highlands dan Jerantut.
Katanya, kejayaan mengesan pencerobohan adalah hasil rondaan Unit Penguatkuasa JPNP Pahang Barat dan Timur dibantu Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD).
“Kita turut menyita kilang papan yang beroperasi secara haram di Kampung Pulau Santap, Janda Baik, Bentong, Mac lalu. Kilang itu menghasilkan kayu bergergaji bersaiz kecil dan sederhana.
“Kita akan terus mempergiatkan aktiviti rondaan selain turut menggunakan satelit untuk mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di negeri ini,” katanya, di sini, hari ini.
Nor Azirim berkata, pemantauan kegiatan menceroboh hutan simpan akan terus dilakukan sepanjang Ramadan. – MOHD IMRAN IZZAD