JPNP perkemas diri dengan ilmu senjata api

JPNP perkemas diri dengan ilmu senjata api

KUANTAN: Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) perlu memiliki kemahiran menggunakan senjata api yang bertujuan mempertahankan diri jika berlaku kejadian tidak diingini.

Sehubungan itu, JPNP kerap mengadakan sesi latihan menembak buat kakitangannya sejajar tekad membanteras pencerobohan hutan di Pahang. 

Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Dato’ Samsu Anuar Nawi berkata, program latihan bertujuan memperkemaskan kemahiran kakitangan JPNP dan anggota UPK Zon Pahang Timur dan Barat dalam pengendalian senjata api.

“Latihan juga dapat mengeratkan lagi hubungan di kalangan kakitangan JPNP di semua peringkat,” katanya selepas menyaksikan 80 kakitangan JPNP dalam program Latihan Kemahiran Penggunaan Senjata Api dan Menembak di Lapang Sasar Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Galing, di sini, semalam.

Acara tahunan itu dianjurkan oleh Unit Penguatkuasaan JPNP Zon Pahang Timur dan mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Pasukan Gerak Am (PGA) Bukit Galing.

Samsu Anuar berkata, program latihan menembak itu akan terus diadakan dari semasa ke semasa dengan pembabitan lebih ramai lagi kakitangan JPNP. – MOHD IMRAN IZZAD