Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pix Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Isu pencerobohan hutan simpan bukan perkara baharu malah ia menjadi isu nasional yang berlaku di beberapa negeri.
Tidak terkecuali Pahang yang berjaya mewartakan kawasan hutan simpan luas dibawah pengawasan sepenuhnya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Ini ditegaskan bekas Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (KPPSM), Dato’ Sri Dr Abd Rahman Abd Rahim yang berharap pelbagai usaha dilakukan JPNP untuk memastikan aktiviti menceroboh hutan simpan tidak terus berlaku.
“Institusi sedia ada antaranya Majlis Tanah Negara (MTN) atau Majlis Perhutanan Negara (MPN), Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri perlu sentiasa duduk semeja mengadakan perbincangan secara bijak dalam usaha menyelesaikan kemelut pencerobohan hutan di negara ini yang sudah berlarutan secara holistik.
“Jangan ada pihak asyik menunding jari mencari siapa salah, sekiranya episod berkenaan terus berlaku isu pencerobohan hutan simpan sampai bila tidak akan selesai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub membabitkan kebun durian Musang King seluas 101 hektar.
Abd Rahman yang kini Ahli Felo Institut Rimbawan Malaysia (IRIM) menambah, JPNP berada di landasan sebenar menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan menguatkuasakan Undang-Undang Hutan (Akta 313).
“Tindakan JPNP itu wajar terutama selepas mendapat penghakiman dari mahkamah, namun masanya agak kurang sesuai kerana pokok durian Musang King di kawasan berkenaan sedang berbuah.
“Bagaimanapun, saya berharap JPNP terus membenteras aktiviti pencerobohan hutan simpan di Pahang dalam memastikan kawasan yang diwartakan itu tidak mudah tergadai,” katanya yang bersara wajib empat tahun lalu.
Bermula Sabtu lalu, satu operasi bersepadu dilaksanakan dengan pembabitan JPNP, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang disertai lebih 200 anggota semua agensi berkenaan.
Operasi tertumpu pada aktiviti menebang pokok durian Musang King yang berusia lebih 10 tahun dan kini sedang berbuah.