RAUB: Cubaan untuk memindahkan 206 tual balak bersaiz 2.4 meter pelbagai spesies menggunakan pas pemindah palsu terbongkar apabila serbuan dilakukan di kilang papan Batu Lapan, Tersang, di sini, semalam.
Serbuan anggota Unit Penguat kuasaan (UPK) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Pahang Barat itu menemui longgokan kayu yang mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan terhadap dokumen hasil hutan berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, tujuh anggota UPK dibantu enam kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub melakukan serbuan ke kilang papan terbabit dan menyemak maklumat kilang serta fail pas pemindah.
Menurutnya, pemeriksaan menemui satu pas pemindah yang mencurigakan dan dipercayai palsu di samping semakan menggunakan lampu ultra ungu pada pas pemindah mendapati ia tidak mempunyai ciri khas keselamatan yang ditetapkan oleh JPNP.
“Anggota penguat kuasa turut membuat pemeriksaan terhadap 206 tual balak itu dan mendapati tiada tanda tukul hasil dan tukul harta pada permukaan kayu.
“Kita bertindak tegas dengan menyita balak terbabit dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Lelaki yang disyaki bertindak sebagai ejen turut ditahan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kini berusaha mengesan dalang yang disyaki menghasilkan pas pemindah palsu berkenaan dan tindakan tegas akan diambil.
Nor Azirim berkata, penggunaan pas pemindah palsu akan merugikan jabatan dan kerajaan negeri serta dianggap mengelak daripada membayar cukai. – MOHD IMRAN IZZAD.