KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) selesai menanam sebanyak 3,000 pokok balak berkualiti tinggi di Hutan Simpan Sungai Lembing dekat Kampung Kolong Pahat, di sini.
Proses menanam pokok spesies Meranti Temak dan Meranti Tembaga di atas kawasan berbukit seluas kira-kira satu hektar itu bagi tujuan pemulihan hutan terbabit.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi, berkata pihaknya mengambil masa lima hari untuk menanam semua 3,000 pokok balak berkenaan.
Menurutnya, kerja menanam dilakukan lebih 50 kakitangan Bahagian Pembangunan Hutan JPNP Bukit Sekilau, di sini, yang terpaksa menggunakan guni dan beg untuk memindahkan anak pokok ke kawasan tanaman di atas bukit.
Katanya, cabaran utama kerja pemulihan Hutan Simpan Sungai Lembing kali ini ialah kawasan berbukit selain tidak ada kemudahan jalan untuk kenderaan menghantar anak pokok.
“Kakitangan kita terpaksa menggunakan guni dan beg untuk membawa anak pokok sejauh hampir satu kilometer untuk sampai ke kawasan penanaman.
“Kita yakin peratusan hidup pokok ditanam lebih tinggi kerana tanah di kawasan terbabit subur dan tidak terlalu padat walaupun berbukit,” katanya di sini, semalam.
Samsu Anuar berkata, pihaknya akan terus memantau pokok Meranti Temak dan Meranti Tembaga yang ditanam dan tinjauan berjadual akan dilakukan bagi menilai peratus pembesaran.
“Sekiranya ada pokok yang mati, ia akan digantikan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.