‘Jujur, ikhlas, tak pilih bulu, bertanggungjawab’, kata pengundi muda

‘Jujur, ikhlas, tak pilih bulu, bertanggungjawab’, kata pengundi muda

KUANTAN: Pengundi muda berusia di antara 18 dan 20 tahun yang didaftarkan secara automatik bagaikan tidak sabar untuk memangkah pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Malah, mereka juga sanggup pulang untuk menunaikan tanggungjawab dengan membawa harapan wakil rakyat yang dipilih boleh menjalankan tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan memberi khidmat yang terbaik.

Penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Kota Bharu, Kelantan, Darwishah Nordin, 19, nyata teruja selepas mendapati namanya tercatat sebagai pemilih selepas membuat semakan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Kota Bharu, Kelantan, Darwishah Nordin, 19.

“Sejujurnya saya begitu teruja untuk balik mengundi kerana inilah peluang yang ada untuk saya memilih wakil rakyat yang sedia mendengar suara anak muda.

“Pilihan saya sudah semestinya calon yang jujur dan ikhlas melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan tidak memilih ‘bulu’ dalam menyalurkan bantuan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Insyirah Iszarizal, 19, juga nyata teruja kerana peluang diberikan kepada orang muda membuat pilihan.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang Insyirah Iszarizal, 19.

“Calon pilihan saya mestilah yang bertangungjawab, mesra rakyat dan mudah diakses. Kalau orang muda lebih baik, mudah faham kehendak orang muda,” kata penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan. 

Penuntut Kolej PSDC Semambu, Muhammad Mirza Mukhriz Mohd Mahathir, 19, mengakui tidak sabar untuk mengundi kerana sudah beberapa kali menemani kedua ibubapanya berbuat demikian.

Pelajar Kolej PSDC Semambu, Kuantan, Muhammad Mirza Mukhriz Mohd Mahathir, 19.

“Sebagai pengundi muda, sudah pasti saya mahukan calon yang berwibawa, muda, cekap, cekap dan sedia berkhidmat untuk rakyat.

“Jujur saya cakap, saya akan undi Barisan Nasional (BN) kerana sudah banyak menerima bantuan daripada kerajaan negeri membabitkan pelajaran saya dan adik-beradik,” katanya.- NUR HANNAH KHADIJAH