BERA: Kerajaan berharap tiada individu dan pihak yang tidak ada kaitan cuba mengambil kesempatan membuat tuntut kerugian sebagai mangsa banjir, kata YAB Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, beliau percaya tiada mangsa banjir yang tidak jujur dalam membuat tuntutan yang sepatutnya mereka dapat tetapi tidak menolak kemungkinan ia masih boleh berlaku.
“Dalam hal begini, kita harap tidak ada pihak yang cuba ambil kesempatan. Jujurlah untuk kebaikan bersama,” kata Ismail Sabri pada program penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 478 mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS dalam Parlimen Bera, di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman.
Ismail Sabri berkata, mangsa banjir yang belum disenaraikan dan tercicir sebagai penerima bantuan banjir segera berbuat demikian dengan mendaftar di Pejabat Daerah serta Pusat Pengurusan Bencana Daerah.
“Kerajaan enggan merumitkan keadaan. Dahlah mangsa banjir, terkesan dengan amat teruk. Oleh itu, kita permudahkan. Tak perlu sampai buat laporan polis.
“Bagi mangsa banjir yang berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara) mungkin tiada masalah kerana sudahpun didaftarkan.
“Cuma yang tidak berpindah ke PPS tapi rumah kena banjir. Saya minta mereka mendaftar untuk direkodkan dan kemudian tetap dapat bantuan banjir,” katanya.
Pada 19 Disember 2021, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Pada 23 Disember 2021, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pula mengumumkan Kerajaan Pahang bersetuju memberikan bantuan khas RM500 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas kerana banjr. HUSIN IBRAHIM