KUANTAN: Seramai 16,579 mangsa banjir daripada 5,073 keluarga masih berada di 119 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah di negeri ini sehingga 10 pagi, hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding semalam yang merekodkan seramai 17,738 orang daripada 5,460 keluarga yang ditempatkan di 125 PPS di enam daerah iaitu Bentong, Temerloh, Bera, Pekan, Kuantan dan Maran.
“Sebanyak sembilan jalan ditutup membabitkan lapan daerah di negeri ini iaitu Jalan Kuantan-Segamat, Pekan; Jalan Southern Loop, Bentong dan Jalan Kuala Lipis- Jerantut, Jerantut.
“Turut ditutup, Jalan Kuala Lumpur– Kuantan, Maran; Jalan Ulu Dong, Raub; Jalan Temerloh–Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok di Temerloh; Jalan Sungai Lembing, Kuantan dan Jalan Bentong- Gua Musang, Lipis,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 19 kes kematian akibat banjir direkodkan di Pahang setakat ini iaitu 10 di Bentong, Temerloh (empat), masing-masing dua di Kuantan dan Raub serta satu lagi di Pekan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN