Jumpa sawit dalam Hutan Simpan Lepar

Jumpa sawit dalam Hutan Simpan Lepar

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Impian pekebun haram meraih hasil pertama jualan kelapa sawit yang ditanam dalam Hutan Simpan Lepar tidak menjadi kenyataan apabila 50 pokok terbabit terlebih dahulu dimusnahkan.

Operasi Musnah yang dilakukan di Kompatmen 33 seluas 0.73 hektar itu mengambil masa kira-kira dua jam untuk diselesaikan pihak berkuasa sekali gus memusnahkan pokok dianggarkan berusia antara empat hingga lima tahun.

KUANTAN ..Kerja memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Lepar.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, pekebun terbabit menggunakan kaedah tanam dan tinggal di peringkat awal sebelum mula membaja mengikut sistem sebaik pokok mencapai usia dua hingga tiga tahun.

Katanya, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, pekebun terbabit membiarkan kawasan kebun ditumbuhi rumpai tebal selain membina pagar zink bagi menghalang musuh tanaman terutamanya babi.

“Kebun kelapa sawit haram itu dikesan selepas Unit Tindakan Khas (UTK) PHD Kuantan, Pekan dan Maran melakukan rondaan berkala cegah ceroboh di kawasan hutan simpan di daerah ini.

“Kedudukan kebun berkenaan dalam kawasan bekas lesen pembalakan, dan dipercayai didalangi seorang individu tempatan,” katanya yang turut sama menyertai operasi berkenaan, semalam.

Turut sama menyertai operasi itu, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad.

Beliau berkata, individu yang melakukan kegiatan itu dipercayai sudah biasa dengan kawasan terbabit dan seolah-olah mengambil peluang untuk menanam kelapa sawit selepas aktiviti pembalakan di situ selesai.

Norshazlee berkata, Operasi Musnah semalam yang disertai lebih 40 kakitangan PHD Kuantan, Pekan dan Maran termasuk Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur JPNP, dengan pemantauan sepenuhnya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan petugas.

“Kita mengambil masa kira-kira dua jam untuk memusnahkan  semua pokok kelapa sawit dengan cara memotong menggunakan parang dan mesin berantai, namun gagal mengesan dalang yang menceroboh hutan simpan itu untuk penanaman.

“Pihak yang menceroboh dan memasuki  hutan simpan tanpa permit untuk apa juga tujuan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984,” tegasnya.

Tambahnya, lebih banyak operasi musnah akan diadakan pihaknya pada masa akan datang bagi memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, Pekan dan Maran tidak terus berlaku hingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.