Jurubahasa rugi RM10,000

Jurubahasa rugi RM10,000

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Jurubahasa wanita berusia 49 tahun dari Bentong rugi RM10,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank pada 13 Julai lalu.

“Mangsa diberitahu mengenai penggunaan kad kredit miliknya di satu laman beli-belah atas talian tetapi mangsa menafikannya sebelum dia diminta bercakap dengan individu lain kononnya daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kemudian mangsa diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan miliknya dan nombor kod pengesahan transaksi (TAC),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, selepas itu mangsa memeriksa akaun bank miliknya dan mendapati wada aktiviti pemindahan RM10,000 ke dalam satu akaun individu.

“Mangsa syak ditipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu. Kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.