KUANTAN: Bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022, Sri Pahang FC dikatakan sedang berusaha mendapatkan jurulatih baharu bagi mengendalikan skuad itu.
Ini berikutan khidmat Dollah Salleh yang juga bekas pemain kebangsaan tidak berada dalam perancangan skuad Tok Gajah musim depan.
Menurut sumber, ketika ini, nama Dollah tiada dalam perancangan selepas diberi tanggungjawab membimbing skuad itu musim ini.
“Apa yang pasti jurulatih baharu akan melatih Sri Pahang musim depan.
“Namun, segalanya masih lagi belum muktamad sama ada menyandarkan khidmat jurulatih tempatan atau import,” kata sumber itu.
Berdasarkan pencapaian Sri Pahang musim ini, skuad itu gagal menyerlah apabila menduduki tempat ke-10 dalam Liga Super manakala sekadar beraksi di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN