Oleh Muhammad Izz Zhin
Gambae ihsan instagram Sri Pahang
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Beraksi 10 pemain nyata memberi impak pada keseluruhan corak permainan Sri Pahang FC apabila tewas 1-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Pengurus pasukan, Dollah Salleh berkata, kekurangan seorang pemain begitu terasa walaupun berusaha untuk menafikan kemenangan tuan rumah.
Katanya, situasi itu juga meletakkan pasukan berada dalam tekanan sehingga menyebabkan misi untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata tidak kesampaian.
“Bagi saya layangan kad merah menyebabkan corak permainan Sri Pahang berubah sehingga menjejaskan rentak permainan.
“Ini kerana pada separuh masa pertama, pemain dapat bermain dengan baik biarpun beraksi dengan 10 pemain tetapi dua gol pada babak kedua menyebabkan kita akur tewas,” katanya.
Pada perlawanan itu, Sri Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain import, Herold Goulon dilayangkan kad merah pada minit ke-16.
Kad merah itu dilayangkan pengadil perlawanan kerana Goulon mengasari pemain import KDA, Kpah Sherman.
Biarpun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama, pasukan itu gagal untuk mempertahanankan keputusan itu pada babak kedua apabila tuan rumah berjaya menambah dua gol.
Kekalahan itu menyaksikan Sri Pahang kekal berada di kedudukan ke-11 Liga Super dengan empat mata.