Kad pintar khusus buat peladang

Kad pintar khusus buat peladang

BERA: Seramai 100,000 ahli peladang membabitkan 22 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Pahang kini berpeluang menikmati kemudahan Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) yang mempunyai gabungan ciri tiga dalam satu. 

PELADANG-i bukan sahaja menunjukkan identiti keahlian, tetapi boleh melakukan  transaksi perbankan moden dan turut dilengkapi manfaat skim perlindungan Takaful sehingga RM5,000. 

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pahang, Dzulfadli Johan, berkata kad pintar itu adalah inisiatif diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menjaga kebajikan ahlinya.

Katanya, menerusi kerjasama dengan Agro Bank, kad pintar ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan nilai tambah yang memanfaatkan kepada ahli PPK. 

“Malah, ahli boleh melaksanakan sistem transaksi tanpa wang iaitu secara sentuhan bagi setiap pembelian barangan daripada Pertubuhan Peladang. 

“Contohnya bantuan banjir dan bantuan penanam padi di Pekan serta Rompin akan dimasukkan terus ke dalam akaun sekali gus memastikan ahli mendapat bantuan segera,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Kad Pintar PELADANG-i Peringkat Negeri Pahang di Pertubuhan Peladang Kawasan Bera, di sini. 

Menurutnya, inisiatif PELADANG-i bakal meletakkan ahli-ahli peladang kepada sistem kehidupan lebih baik melalui konsep pembayaran tanpa tunai dan hanya berurusan secara dalam talian.

“Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkasa dan melonjakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan ahli peladang ke arah dunia digitalisasi, seterusnya mencapai matlamat LPP menerajui pertanian dalam negara ke arah IR (Revolusi Industri) 4.0,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE