Kadi, imam dan hakim syarie di Pahang korek ilmu ulama hadis

Kadi, imam dan hakim syarie di Pahang korek ilmu ulama hadis

KUANTAN: Kira-kira 100 orang terdiri daripada kadi, imam dan hakim syarie di negeri ini, berkesempatan berkumpul dan ‘mengorek’ ilmu daripada sosok ulama hadis terkemuka di Timur Tengah, Sheikh Mustafa An-Nadawi dalam program Daurah Kitab Agensi Agama Islam Negeri Pahang Darul Makmur bersama beliau, di Hotel Grand Darul Makmur di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata program anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) itu meliputi beberapa acara yang bermula sejak pagi hingga malam semalam.

“Secara kebetulan, kita ada tetamu iaitu Sheikh Mustafa An-Nadawi, iaitu tokoh ulama hadis dari Timur Tengah yang diiktiraf Universiti Al-Azhar (Mesir) dan universiti Islam lain di Timur Tengah dan sekarang ini dilantik oleh kerajaan negeri sebagai Felo Kanan di UnIPSAS, kita ambil kesempatan mengadakan satu seminar khas kepada kadi, imam dan hakim syarie di negeri ini.

“Seminar ini membincangkan dua tajuk iaitu yang pertama disandarkan kepada kitab Adab Al-Qadi yang memperincikan disiplin kadi dan orang yang mengambil hukum mengumpulkan hadis, kemudan dibacakan kepada semua sebagai teras ilmu.

“Kemudian di sebelah petangnya, diadakan pula perbincangan berkaitan ‘Aqidah al-Asyairah yang juga dibentangkan Sheikh (Mustafa) yang menjadi perbahasan di seluruh dunia Islam,” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis penutup program berkenaan, Syed Ibrahim mengingatkan individu dari institusi keagamaan dan mahkamah syariah supaya sentiasa menjaga tingkah laku supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat.

“Saya maksudkan sebagai pesanan benda baik supaya diteruskan dan menjadi peringatan kepada semua termasuk saya sendiri. Contohnya selepas majlis bacaan Yasin, seeloknya imam atau kadi yang menyertainya tidak membiarkan naskhah Yasin begitu sahaja selepas membacanya, sebaliknya kumpul dan susun semula.

“Adab dan tingkah laku seperti ini walaupun mungkin ada yang anggap kecil, menjadi perhatian masyarakat, maka eloklah ditunjukkan contoh yang baik kepada mereka,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN