Kaedah ubahsuai cuaca boleh tangani banjir besar, kata Mohd Sharkar

Kaedah ubahsuai cuaca boleh tangani banjir besar, kata Mohd Sharkar

KUANTAN: Negara ini perlu memulakan kajian berkaitan kaedah pengubahsuaian cuaca bagi mengurangkan impak bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang,  Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata menerusi kaedah itu, hujan lebih dahulu turun di kawasan laut sebelum sampai ke darat. 

“Saya pernah cadangkan untuk kita kaji secara serius untuk laksanakan kaedah ‘weather modification’ (pengubahsuaian cuaca, yang mana hujan turun di laut dahulu sebelum sampai ke darat.

“Ia sama macam kaedah kalau kemarau, kita buat ‘cloud seeding’ (pembenihan awan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

Menurutnya, sudah sampai masanya untuk negara mengambil pendekatan lebih proaktif bagi menangani kejadian banjir besar.

“Bila kita hanya mengambil pendekatan ‘reaktif berbanding kaedah proaktif, maka kita terpaksa berdepan dengan banjir besar dan hujan yang tidak tahu banyak mana kandungannya.

“Kasihan kepada mangsa banjir yang sekelip mata kehilangan harta-benda,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN