KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah meminta Jabatan Kehakiman Syariah peringkat persekutuan dan negeri untuk mengkaji pelaksanaan hukuman membabitkan khidmat komuniti kepada pesalah yang melakukan kesalahan tidak begitu besar.
Baginda bertitah, Hakim Mahkamah Syariah juga perlu menggunakan budi bicara ketika menghakimi pesalah supaya penindasan tidak berlaku.
“Saya minta pihak Hakim mendalami dan mengkaji supaya hukuman berbentuk perkhidmatan kemasyarakatan kerana kadang kala ada kesalahan tidak begitu besar, harus memikirkan supaya mereka (pesalah) berbakti kepada masyarakat.
“Sekurang-kurangnya, kita tidak nampak terdapat penindasan kepada mereka bermasalah yang boleh kita selesaikan secara budi bicara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada titah diraja sebelum memasyhurkan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.
Bertitah lanjut, Al-Sultan Abdullah meminta supaya kes-kes di Mahkamah Syariah diselesaikan segera bagi mengelakkan ia tertunggak.
“Segala kes syariah peru diselesaikan secepat mungkin, kita tidak mahu banyak backlog (kes tertunggak) seperi dinyatakan Menteri Besar mengenai kes kekeluargaan dan harta pusaka. Ini akan menyusahkan pihak terlibat secara langsung,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah, kuasa menghukum dan pengampunan tidak harus digunakan sewenang-wenangnya.
“Sekiranya undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, ia bermakna penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.
“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titahnya.
Pada majlis sama, Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang itu dimasyhurkan sebagai Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah.
Kompleks empat tingkat yang menelan kos pembinaan sebanyak RM44.757 juta itu, mula dibina pada 22 Jun 2015 dan siap sepenuhnya pada 23 September 2021. – HELMY ABD RAHMAN