Oleh: Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
LIPIS: Kerajaan Pahang setakat ini belum membuat sebarang keputusan membabitkan usul diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu, berkaitan pemilihan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Menteri Besar, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilihan calon bagi lantikan ADUN berkenaan perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati supaya ia benar-benar dapat memberi manfaat kepada rakyat.
“Tidak bermakna usul itu diluluskan, kita terus lantik. Perkara ini perlukan masa kerana kerajaan negeri kena tengok juga kesesuaian calon bagi mewakili kumpulan minoriti di Pahang.
“Banyak faktor kena ambil kira.. kita kena tunggu juga usul itu diwartakan terlebih dahulu dan selepas itu baru kita pilih calon mempunyai kelayakan, berkaliber, dan memenuhi kriteria yang kita perlukan.
“Paling penting kita mahu rakyat tahu bahawa keputusan untuk melantik lima ADUN tanpa proses pilihan raya ini bukanlah menyalahi mana-mana peruntukan perlembagaan Persekutuan.
“Malah di Sabah turut terdapat enam ADUN lantikan, begitu juga di Terengganu terdapat empat ADUN lantikkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Cakna Tok Wan di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands, dekat sini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Dato Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Katanya tujuan kerajaan negeri membuat cadangan ini adalah untuk memastikan ruang lebih luas untuk rakyat menyalurkan kesulitan dihadapi kepada ADUN yabg dilantik supaya kita dapat cari jalan penyelesaian,” katanya.
Wan Rosdy berkata, walaupun jumlah dicadangkan bagi ADUN lantikan adalah seramai lima orang, namun kerajaan negeri mungkin hanya melantik seorang atau dua orang sahaja bagi memenuhi kuota ditetapkan.
“Mungkin kita cuma lantik ADUN lantikan bagi mewakili masyarakat Orang Asli, mungkin kita lantik untuk mewakili kaum Sikh. Lantikan ini adalah untuk mewakili kumpulan minoriti dan kerajaan negeri belum lagi ada calon untuk lantikan ADUN ini,” katanya.