TEMERLOH: Kajian teliti membabitkan keadaan jalan dan aliran air perlu dilakukan terutama di kawasan tanah tinggi sebelum melaksanakan projek pembinaan jalan baru pada masa depan bagi mengurangkan risiko berlakunya tanah runtuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata jalan sedia ada pula perlu sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
“Kita harus memantau keadaan jalan sedia ada dan pastikan ia sentiasa selamat, manakala pembinaan jalan baru pada masa hadapan, perlu mengambil kira juga faktor aliran air.
“Sebab kita tengok jalan lama ke Cameron Highlands dan Bukit Fraser tidak banyak berlaku tanah runtuh berbanding jalan baru yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kejohanan Datuk Seri Sharkar E-Sports Championship League, Parlimen Temerloh di Dewan Tun Razak, di sini hari ini.
Seramai 54 pasukan, membabitkan 216 peserta berusia 18 tahun sehingga 40 tahun menyertai pertandingan itu yang membabitkan dua peringkat iaitu antara Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen Temerloh.
Mengulas kejohanan berkenaan, beliau berkata, liga sukan dalam talian ini adalah landasan untuk merapatkan silaturahim antara pemain khususnya generasi muda.
“Ini satu platform untuk kita semua berkenalan antara satu sama lain secara lebih rapat kerana kadang-kandang kita hanya berjumpa di peringkat alam maya sahaja.
“Ini juga sebagai sebahagian usaha kita untuk mempromosikan Temerloh dalam bidang pelancongan serta bidang-bidang lain kepada masyarakat luar,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE